Hari ini merupakan kelas yang terakhir bagi subjek ini. Kami diminta oleh Dr.Fariza untuk membentangkan hasil kerja mengikut kumpulan masing-masing. Alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikan tugasan masing-masing. Kelas bermula sekitar jam 8.30 malam dengan pembentangan untuk mini kajian terlebih dahulu. Kumpulan saya telah memilih untuk menjadi pembentang yang pertama. Tajuk kajian kami ialah Pengalaman Guru dalam Pelaksanaan PAK21 melalui Kerangka Model RIPPLES. Pembentangan kedua oleh kumpulan Jeyanthy yang bertajuk, Teacher's Perceptions on the Use of Kahoot from the Perspective of Innovation Attributes. Diakhiri oleh kumpulan Aisyah dengan tajuk, Tahap Penerimaan dan Penggunaan Quizzes dalam Pembelajaran dan Pengajaran kepada Pelajar Sekolah Menengah di Negeri Sembilan berdasarkan Teori Perubahan Elly. Ulasan Dr mengenai kajian kami, terdapat sedikit kekeliruan berkaitan aspek latihan dan sokongan. Bagi aspek latihan, ia merupakan pandangan guru berkaitan dengan latihan yang diberikan tetapi dari aspek sokongan ia berkaitan sokongan yang diperlukan oleh guru. Manakala untuk kumpulan Aisyah, mereka menjalankan kajian terhadap murid. Tidak semua Teori Elly boleh digunakan sekiranya soal selidik tersebut dijawab oleh murid. Sekiranya sampel kajian adalah guru maka kesemua Teori Elly boleh digunakan. Kesimpulannya, Dr. berpuas hati untuk pembentangan mini kajian. Pembentangan diteruskan dengan projek AR yang dibangunkan oleh setiap kumpulan. Kumpulan saya telah memilih untuk menjadi pembentang yang pertama. Kumpulan saya memulakan pembentangan dengan pemilihan model (ASSURE) yang kami gunakan sebelum pembangunan AR dan diteruskan dengan projek AR yang bertajuk The Old House. Pembentangan AR diteruskan dengan kumpulan Jeyanthy. Kumpulan mereka membawa projek yang bertajuk Adjectives. Pembentangan ketiga oleh Aisyah yang membawa konsep yang berbeza. Jika kami semua menghasilkan sebuah buku AR tetapi Aisyah menghasilkan kalender AR. Idea Aisyah ini amat menarik dan boleh dikomersilakan. Pembentangan terakhir oleh kumpulan Kalai. Di mana kumpulan mereka membuat AR yang bertajuk Covid 19 Preventions. Secara keseluruhannya, Dr. amat teruja dengan projek AR yang kami semua hasilkan. Secara peribadi, saya sangat gembira dengan tugasan ini kerana ia memberi pengalaman baru kepada saya dan ilmu ini PASTI akan saya gunakan semasa pengajaran saya nanti. Terima kasih Dr. di atas ilmu yang sangat bermanfaat ini. Sesungguhnya Islam amat menggalakkan umatnya untuk sentiasa bersifat kreatif dan inovatif dalam setiap amal buatnya untuk kebaikan sejagat. Wallahua'lam.
0 Comments
Alhamdulillah hari ini saya akan belajar tentang AR. Pastinya ini adalah kelas yang paling saya nanti-nantikan. Sebelum ini, saya memang amat teruja dengan AR dan VR. Saya telah didedahkan dengan AR melalui perkongsian guru-guru sekitar tahun 2017. Cumanya ketika itu, sukar untuk saya memahami bagaimana cara untuk menghasilkan AR yang sebenarnya. Oleh kerana saya tidak tahu bagaimana cara untuk menghasilkan AR, saya membelikan anak saya buku yang mengandungi AR untuk merasai sendiri penggunaannya. Pada ketika itu, penggunaan AR masih belum meluas seperti hari ini. Malah pada tahun 2017, saya turut menggunakan AR semasa PdP saya. Ketika itu saya mengajar Pendidikan Islam di bawah tajuk Menjaga Maruah Diri. Saya menggunakan AR yang dibangunkan oleh Quiver Fashion. Saya meminta murid menghias gambar tersebut agar menutup aurat dan saya akan mengimbas beberapa gambar secara rawak. Murid amat teruja dengan aktiviti tersebut. Ok, itu adalah sedikit perkongsian bagaimana saya menggunakan AR. Tetapi hari ini, saya belajar bagaimana cara untuk membangunkan AR. Terdapat pelbagai platform yang boleh digunakan untuk membangunkan AR. Apa kelebihan AR?
Secara ringkasnya, untuk membangunkan AR kita perlu menghasilkan gambar dan bahan yang ingin dipertontonkan (video, audio, grafik dan sebagainya). Misalnya kita ingin murid menonton video, maka video tersebut akan kita tindankan di atas gambar. Haaa. Nampaknya pembaca masih tidak faham dengan apa yang cuba saya terangkan. Pembaca boleh menonton video yang dihasilkan oleh Dr.Fariza untuk penjelasan lanjut Dah tonton? Pasti pembaca teruja untuk menghasilkan AR sendirikan? Begitulah perasaan yang saya yang saya alami dari tahun 2017 dan dengan kuasa dari-Nya hari ini saya telah memahami konsep pembangunan AR.
Kelas di akhiri dengan penerangan tugasan yang perlu kami selesaikan. Nak tahu apa projek AR yang kumpulan saya akan bangunkan? Jumpa di 'post' yang akan datang. Selamat mencuba untuk menghasilkan AR sendiri. |